Empat tahun dua bulan mak membesarkan Abang. Mak selak
helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh!
Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya. Membacanya bagaikan meruntun
jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita Abang sejak lahir hingga
menghembuskan nafas terakhir. Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih
kurang tiga bulan sebelum Abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan
yang mak cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak
menangis?Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa
mak tidak menangis, sayang.
Januari 2011- Perut Abang semakin membusung kerana
hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman Abang sudah rosak, sudah
'reput'. Tidak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata,
cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk Abang.
26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua
hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori
sampah! Hah Hah.. Tergelak mak. Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu
setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah, Puas mak
dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur, tetapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada
yang sanggup buat kek macam yang Abang minta. Mak kecewa! Selama ini, mak
tunaikan apa saja permintaan Abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek
coklat strawberi sebagai pengganti. Dengan perut membusung, dada berombak
kerana sukar bernafas, Abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan
rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi Abang. Dan ketika
itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi Abang yang terakhir.
7 Mac 2011- Keadaan Abang semakin kritikal. Perut
Abang semakin membesar. Abang tidak mampu untuk bergerak dan lebih banyak
terbaring serta asyik sesak nafas. Mak semakin tidak tahan melihatkan keadaan
Abang sebegini rupa. Mak bawa Abang ke IJN, rumah 'kedua' Abang sepanjang
tempoh hayat Abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Abang
hanya menanti waktu. Mak angguk perlahan-lahan. Mak redha dengan ketentuan
ilahi. Dalam hati mak juga terdetik, masa Abang sudah tidak lama lagi. Para ibu
di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan keadaan Abang? Mak
cuma mampu untuk jawab, "Insya-Allah, Abang akan sihat!" Mak terpaksa
cakap begitu pada mereka, sebab mak tidak mahu mereka semua lemah semangat jika
mereka tahu Abang sudah tiada harapan lagi. Mereka pun sedang bertarung dengan
ujian Allah apabila anak-anak yang dikasihi ditimpa penyakit. Jadi biarlah
jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya,
biarlah mak sendiri yang telan.
13 Mac 2011- Hari ini merupakan hari Ahad. Mak pinta
kebenaran doktor untuk bawa Abang pulang kerumah. Doktor izinkan. Biarlah Abang
habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak
mahu tunaikan apa saja permintaan Abang. Di rumah, setiap hari mak akan tanya,
"Abang nak apa harini?"
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab,
"Mak, Abang nak naik kereta bomba!"
Mak termenung dengar permintaan Abang. Bila abah
pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana?
Mak jawab, "Balai bomba!"
Sampai di situ, mak meminta izin daripada pegawai
bomba. Mak kata padanya, Abang teringin sangat nak merasa naik ke dalam trak
bomba. Pegawai itu cuma garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan
kepala. Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju Abang ke
paras dada.
Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu,
"Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'!
Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!" Bila lihat perut Abang
yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tidak tunggu
lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu. Lantas
dia terus dukung Abang dan letakkan Abang ke atas tempat duduk bahagian
pemandu. Abang nampak gembira sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak
itu. Tetapi Abang tidak perasan, ketika itu mak palingkan muka selama lima
saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi pada abang, "Abang nak
apa?"
Abang pun jawab: "Abang nak naik lori
sampah!" Mak dukung Abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi
itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh
izinkan sebentar?" Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian,
mak angkat baju Abang dan beritahu perkara sama. Terus berubah mimik wajah
mereka. Segera mereka angkat Abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara
pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup untuk melihat Abang lama-lama.
Sedih agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan
yang sama. Kalau Abang nak tengok gajah, mak akan bawa Abang pergi zoo.
Walaupun abang tak larat jalan, tak apa.
Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung
Abang. Abang pinta nak tengok burung, mak bawa Abang ke taman burung. Abang nak
main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan
seperti itu. Ke mana saja Abang nak pergi dan apa sahaja yang Abang inginkan,
semuanya mak tunaikan! Setiap hari juga mak tanya Abang nak makan apa.
Macam-macam Abang teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol,
air tebu, air bandung, rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan
walaupun makanan itu Abang pinta pada pukul 3.00 pagi.
Mak tahu dan faham, masa Abang bersama mak dan abah
semakin suntuk!
27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Abang sudah tidak
mampu untuk berkata-kata, apatah lagi untuk bergerak seperti biasa. Mata Abang
kuyu dan Abang hanya mampu terbaring sambil memeluk Aina, anak patung
kesayangan Abang. Mak segera pinta abah bawa Abang ke hospital.
"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita
mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!" Itulah
kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan
redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas
untuk pesakit kritikal.
5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama Kakak sulung
di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan Kakak pulang.
"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di
sampingnya pada saat terakhir!" Mak pinta pada cikgu dan Kakak diizinkan
pulang. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang sinonim merawat abang juga datang melawat.
Ketika itu mak ceritakan yang mak terkilan sangat tidak dapat tunaikan
permintaan Abang yang mahukan kek berbentuk lori sampah.
7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat Abang
lagi. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk Abang tengah hari ini.
Rupa-rupanya, tengah hari itu tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura
datang membawa kek lori sampah yang Abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek
mereka bawa. Mak tak sangka, Dr. Adura rajin menulis mengenai kisah abang di
dalam blognya dan ramai yang menawarkan diri untuk menyediakan kek yang abang
pinta. Para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang
tahun untuk Abang. Tetapi abang kurang ceria, wajah Abang tampak letih dan
nafas abang turun naik.
8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu
datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tetapi abang sangat
lemah. Abang sekadar terbaring merenung kek itu. Malam itu, semasa jururawat
mengambil tekanan darah Abang, bacaanya meningkat naik. Tetapi hati mak dapat
merasakan yang Abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu,
hanya mak berdua dengan Abang berada di dalam bilik. Mak pandang sayu wajah
abang yang semakin lesu dan
pucat. Mak duduk di sebelah Abang, mak peluk dan usap
rambut Abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.
Dalam tangis itu, mak katakan pada Abang, "Mak
tahu Abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu
Abang nak pergi. Jangan tahan-tahan Abang. Pergilah menghadap Ilahi. Mak sudah
sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa sahaja hajat yang
Abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan Abang dalam hidup mak
walaupun seketika."
Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu.
Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Mak juga berjanji bahwa mak tidak
akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang
sudah tiada lagi di dunia.
9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa
semua anak-anak datang ke hospital. Masa Abang dah dekat sangat. Mak lihat
Abang sudah kritikal. Wajah Abang sudah tampak biru, lebam! Dada Abang
berombak, tercungap-cungap menarik nafas.
Abang sudah tidak mahu makan dan minum lagi sejak
malam tadi. Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak-kakak sampai. Mak suruh Kak Long
bacakan Yaasin di sebelah Abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah
tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.
Pukul 3.00 petang, Abang semakin lesu. Lantas mak ajak
Abang keluar berjalan-jalan.
"Abang, abang nak tengok matahari tak? Jom kita
turun kantin minum sambil tengok matahari!"
Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung Abang dan
kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi Abang
hanya minum seteguk. Kemudian, Abang lentukkan kepala pada bahu mak.
"Abang, tu tengok kat luar tu? Nampak tak sinar
matahari tu? Cantikkan?" Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang
kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu. Abang angkat kepala
melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.
"Abang ngantuk!" Itu kata Abang dan kemudian
abang terlentuk semula pada bahu mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang.
"Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak-kakak
naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja.
Sampai sahaja di wad, mak terus baringkan Abang di
atas katil.
Dan Abang terus merintih dalam nada yang lemah,
"Makkk..sakit perut..!"Suara Abang amat perlahan dan amat sayu
bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi Abang.
"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan Abang
pergi. Mak halalkan segala makan minum Abang. Mak halalkan air susu mak untuk
Abang. Pergilah Abang. Mak izinkan Abang pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu
sambil merenung jauh ke dalam mata Abang yang semakin kuyu. Saat Abang sedang
nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup Abang selagi Abang masih
bernafas. Mereka kucup pipi Abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.
"Kakak! Kalau kamu semua nak menangis, keluar
dari bilik ini. Mak tak mahu Abang dengar kamu menangis! Jangan seksa Abang
dengan tangisan kamu semua!" Mak marah mereka. Mak tidak mahu Abang lihat
kami menangisi pemergian Abang. Mak tahu, Abang akan jadi lebih sedih dan berat
hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut
menjemput Abang. Mak tidak mahu tambahkan lagi kesedihan Abang untuk
meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah
menahan suara tangisannya. Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak
suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar
lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat Abang akan pergi. Setitis dua
mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah Abang. Mak izinkan. Mak izinkan..
pergilah.."
Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup
rapat, genggaman tangan Abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya
terlepas...
Pukul 3.50 petang, akhirnya Abang meninggalkan dunia
fana ini. Innalillahiwainnailahirajiun.
Mak kucup dahi Abang. Mak bisikkan di telinga Abang,
"Tenanglah Abang di sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti
jejak Abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"
Abang, sekarang mak sudah dapat jawapanya. Mengapa mak
tidak menangis? Pertama, Abang telah di takdirkan menjadi ahli Syurga yang akan
membantu mak di sana nanti. Kedua, apa saja keinginan Abang semasa hayat abang
telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang
sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat Abang. Mak telah sunatkan
dan buat akikah untuk Abang. Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab
sepenuhnya, sentiasa berada di sisi Abang dan menggembirakan Abang setiap saat
dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti
Abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran Abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk,
kaya keredhaan, kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan. Mak
telah beri segala-galanya melebihi seratus peratus untuk Abang. Mak telah beri
yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak
tidak perlu menangis lagi.
Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi
dan kosong tanpa Abang tapi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan
saat-saat terindah kehadiran Abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar.
Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen
Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua
minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan
injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai
siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahannya yang gagal,
malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut.
Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir
ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat
tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan
(bapa).
Al-Fatihah buat Allahyarham adik Iqbal Fahreen.
Sebuah kisah benar menyayat hati yang melambangkan
kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.